KARNIVAL KERJAYA BARISAN NASIONAL (BN) 2011

KUALA LUMPUR: Sejumlah 20,000 jawatan kosong bakal ditawarkan 650 syarikat swasta dan jabatan kerajaan sepanjang tiga hari berlangsungnya Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) Youth 2011 (BNYJF 11), mulai 25 hingga 27 Mac ini. 

Karnival kali pertama anjuran Pemuda BN itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang turut menyediakan kemudahan pendaftaran pekerja dalam talian kepada pengunjung. 

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata karnival itu akan menggunakan sistem ‘kod bar resume’ yang menyimpan data pemohon bertujuan memudahkan peserta menyemak senarai syarikat bersesuaian.

“Kita menyasarkan lebih 500,000 pengunjung yang datang memanfaatkan karnival ini berikutan banyak syarikat besar terbabit sama pada penganjuran karnival kerjaya terbesar ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Simbolik Pengiklanan BNYJF 11, di sini, semalam.

Beliau berkata, kemudahan disediakan pada karnival itu bukan saja terhad kepada graduan universiti, malah kepada sesiapa saja yang berkelayakan mengisi jawatan ditawarkan.

Maklumat lanjut mengenai karnival ini boleh diperoleh menerusi www.bnyouthjobfair.com. 

 
Sementara itu, mengulas permintaan golongan belia berhubung cadangan peningkatan nilai harga rumah ditawarkan dalam Skim Rumah Pertamaku, Khairy berkata, pihaknya sudah membincangkannya dalam mesyuarat EXCO Pemuda pada Jumaat lalu bagi menggesa kerajaan mempertimbangkan semula syarat kelayakannya.

“Kita sudah berbincang mengenai masalah ini berikutan nilai rumah yang ditetapkan sekitar RM100,000 hingga RM220,000 itu tidak dapat memenuhi pasaran rumah di sekitar bandar. Kita mencadangkan supaya nilainya dinaikkan kepada RM300,000 berikutan sukar mendapat rumah dengan harga rendah daripada itu pada masa ini,” katanya. 

 

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...